Panel S’jaya Diraja jumpa adik dan peguam Teoh

Posted: February 14, 2011 in News
Tags:

Source : Malaysiakini

Adik Teoh Beng Hock – Lee Lan dan peguam Gobind Singh Deo, Malik Imtiaz Sarwar dan Karpal Singh – menghadiri mesyuarat terakhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini, sebelum ia memulakan prosidingnya Isnin ini.

NONELee Lan, dengan ditemani Gobind (foto), tiba jam 3 petang, manakala
anggota panel tersebut tiba 15 minit kemudiannya di kompleks mahkamah Jalan Duta.

Kira-kira jam 4.40 petang, Lee Lan dan para peguam beredar selepas mengadakan perbincangan selama 15 minit dengan panel tersebut.

Ketika ditemui di lobi kompleks mahkamah, Karpal memberitahu wartawan bahawa pihaknya memandang berat tarikh siasatan bermula, dan telah menyatakan pandangan mereka mengenainya kepada RCI.

“Ada banyak kes pada (14 Februari)… dan ada semakan (penghakiman terbuka inkues kematian Teoh) di Mahkamah Tinggi,” kata Karpal.

Beliau menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah lebih kuat daripada RCI.

Gobind berkata, para peguam belum lagi menyemak senarai saksi, tetapi ia akan diselesaikan pada hari Isnin.

Lee Lan sebelum ini telah meminta RCI, yang ditubuhkan pada 26 Januari, supaya menjalankan siasatan secara adil, profesional dan telus.

Beliau juga menyuarakan kekecewaannya kerana kerajaan berdiam diri terhadap tuntutan keluarganya supaya melantik empat lagi individu yang disyorkan oleh badan sivil, sebagai anggota RCI.

Laporan mengenai prosedur SPRM

Mesyuarat hari ini dijangka menerima laporan dari pegawai penyiasat mengenai prosedur Suruhanjaya Pencegahan Siasatan Malaysia (SPRM) dan agensi yang sama, untuk tujuan perbandingan.

Selain menyiasat punca kematian Teoh, RCI akan menilai sama ada SPRM mematuhi prosedur ketika menyoalsiasat Teoh sebagai saksi, berhubung kes dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan Selangor.

NONETeoh yang merupakan pembantu kepada exco kerajaan Selangor,
ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas disoalsiasat semalaman di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan tersebut.

RCI yang diketuai oleh hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk James Foong, dijangka menyelesaikan siasatan dan menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya pada 25 April.

Siasatan RCI akan dijalankan dari hari Isnin hingga Jumaat setiap minggu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s