Kematian dalam tahanan: Kakak Gunasegaran menunggu satu jawapan

Posted: October 24, 2010 in Articles
Tags:

Sumber : Merdeka review

Ong Vic Kee | Sep 03, 2010 06:29:13 pm

“Kami tertanya-tanya, adakah satu jawapan, satu keadilan begitu susah?”  Demikianlah luahan Teoh Lee Lan, adik kepada mendiang Teoh Beng Hock pada saat-saat ketika Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-53.

Jelas, Teoh Lee Lan bersama keluarganya masih belum terkeluar dari penderitaan yang dialami, lebih-lebih lagi apabila inkues yang berlangsung hampir setahun secara tiba-tiba “menemui bahan bukti baru”, pada peringkat akhir perbicaraan.  Bagaimanapun, keluarga Teoh tidak bersendirian.  Tragedi Teoh Beng Hock menjadi tumpuan media.  Pemimpin politik, aktivis badan bukan kerajaan (NGO), malah orang awam menunjukkan sokongan padu dalam usaha menegakkan keadilan untuk mendiang Teoh Beng Hock.

Menghembus nafas terakhir pada usia 31 tahun

Namun demikian, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pada hari yang sama ketika mayat Teoh ditemui, seorang tahanan bernama R.Gunasegaran yang ditangkap polis dengan tuduhan menyalahgunakan dadah, menemui ajal di dalam lokap Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.  Dalam masa dua jam sahaja selepas ditangkap, R.Gunasegaran menghembus nafas terakhirnya pada usia 31 tahun.

Nama R.Gunasegaran kurang mendapat perhatian berbanding Teoh Beng Hock.  Malah semasa inkues kematian R.Gunasegaran berlangsung, tidak banyak media yang membuat liputan.  Kadang-kala, tinggal wartawan MerdekaReview sahaja yang datang membuat liputan, dan bilangan media hanya bertambah kepada tiga pada peringkat akhir inkues.

Untuk Teoh Lee Lan, tanggal 31 Ogos 2010 disambut dengan baju hitam dan bunga putih, sebagai tanda memperingati abangnya.  Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, kakak R.Gunasegaran, R.Ganga Gowri meluahkan kepiluannya, ketika mengenang hubungan dirinya dengan adiknya, yang sudah 12 tahun berpisah.

Tanpa diduga, R.Ganga Gowri dipertemukan dengan mayat adiknya, dalam pertemuan kali pertamanya dengan R.Gunasegaran selepas perpisahan 12 tahun.  Malah, R.Gunasegaran pergi tanpa meninggalkan apa-apa.  Tiada gambar, tiada barang, malah kad pengenalan juga hilang.

“Alangkah baiknya kalau ada gambar.  Boleh juga saya gunakan untuk sembahyang,” kata Ganga Gowri (gambar kiri).  Tetapi, Ganga Gowri masih ingat wajah Gunasegaran, walaupun 12 tahun tidak berjumpa dengannya.  Ganga hanya mengikuti perkembangan adiknya itu melalui adik kembarnya.

“Pada mulanya, saya ingat Guna akan balik pada bila-bila masa.  Dia akan balik, kalau saya cari dia.  Tapi, kali terakhir saya berjumpa dengan dia, dia dah meninggal dah…” keluhnya.

Tinggalkan rumah pada usia 16 tahun

Gunasegaran meninggalkan rumah pada usia 16 tahun.  Keluarga mereka berpindah ke Kuang dari Ampang Tasik, setelah bank merampas rumahnya di Ampang Tasik kerana gagal menjelaskan hutang pinjaman rumah.  Keluarga yang asalnya terdiri daripada lapan orang, kini tinggal hanya Ganga dengan seorang adiknya.

Ibunya meninggal dunia tidak lama selepas melahirkan anak perempuan bongsu, bapanya pula kaki botol sejak dahulu lagi, sebelum meninggal dunia.  Abang sulung mati dalam kemalangan motorsikal pada usia 18 tahun.  Tahun 2009 merupakan malapetaka yang menimpa Ganga.  Selain Gunasegaran, dua orang adik kembarnya, turut meninggal dunia kerana sakit ginjal – yang berpunca daripada minuman alkohol, masing-masing meninggal pada awal dan akhir tahun.

Gunasegaran tidak suka tinggal di Kuang.  “Ibu bapa sudah meninggal dunia, anak perempuan lebih jaga keluarga, lelaki tidak begitu.  Kena marah sikit, dia tinggalkan rumah… Dia (Gunasegaran) bukan benci ahli keluarga, dia hanya pilih untuk tinggalkan rumah.”

Menurut Ganga, hubungan Gunasegaran dengan saudara-mara yang lain tidak begitu baik.  Akhirnya, Gunasegaran memilih untuk tinggalkan rumah, kerana tidak mahu Ganga berdepan dengan dilema, antara dirinya dengan saudara-maranya.  Gunasegaran tinggalkan rumah sejak usia 16 tahun, dan hanya balik sekali untuk bermalam setiap tahun.  Gunasegaran tidak balik lagi, selepas bapanya meninggal dunia ketika dirinya berusia 19 tahun.

Taraf pendidikan Gunasegaran dan lima orang adik-beradiknya berada dalam lingkungan antara darjah tiga dengan darjah enam, sekolah rendah.  Gunasegaran yang merupakan anak ketiga dalam keluarga, hanya berpendidikan sehingga darjah empat.  Ganga tidak begitu fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu, dan wawancara ini dijalankan dengan bantuan terjemahan suaminya, Marathreeran (gambar kiri, kiri).

Gunasegaran boleh hidup sebenarnya

“(Kawan Guna) Beritahu kami, dia (Guna) sudah ditangkap ke balai, dipukul polis.  Dia (Guna) pengsan.  Tak ada orang tolong dia.  Kalau ada tolong, dia boleh hidup.”  kata Ganga.

Berita kematian adiknya disampaikan kepada Ganga oleh kawan Gunasegaran.  S.Ravi, S.Suresh dan S.Selvach adalah kawan Gunasegaran yang ditangkap bersama.  Mereka juga dipanggil sebagai saksi untuk tampil ke inkues, setelah mereka mendakwa bahawa mereka melihat sendiri bagaimana Gunasegaran dipukul oleh polis dalam surat pengakuan mereka.

Menurut kawan Gunasegaran, ketika Gunasegaran meraung kesakitan, semasa dipukul polis dengan batang kayu dan paip air, sehingga merayu dalam keadaan berbaring di lantai, polis masih menganggap Gunasegaran sekadar berlakon.  Malah, mereka masih mendengar jeritan Gunasegaran, setelah mereka dikurung ke dalam lokap.

Bagaimana Ganga mengecam mayat adiknya?  Sikunya yang bengkok ke dalam, kata Ganga, yang juga tidak jelas dengan penyakit itu.  Menurut Ganga, Gunasegaran mengalami kecacatan pada kedua-dua sikunya.  Dia tidak mampu mengangkat barang yang berat, meskipun kecacatan ini tidak memberi kesan yang besar dalam kehidupan hariannya.

Tiada notis daripada polis.  Ganga dan suaminya hanya mendapat berita kematian Gunasegaran daripada kawan Gunasegaran.  Ganga masih dapat menatap wajah Gunasegaran pada kali pertama mayat adiknya dikenalpasti.  Namun, pada kali kedua selepas autopsi, mayat Gunasegaran mereput dengan ketara – mayatnya keputihan, kulitnya tertanggal, malah biji matanya tidak kelihatan lagi.

Tidak pasti sama ada Gunasegaran mengambil dadah

Ketika ditanya tuduhan yang membabitkan Gunasegaran, Ganga menganggap adiknya tidak bersalah.  Bagaimanapun, Ganga tidak menolak kemungkinan bahawa Gunasegaran mengambil dadah.  “Saya tidak pasti apa yang berlaku selepas dia meninggalkan rumah, tetapi dia ‘ok’ semasa berada di sini.”

Ganga lebih merindui adiknya pada hari raya.  Nadanya berbaur kepiluan semasa mengenangkan Gunasegaran.  Ganga berkata, Gunasegaran tidak membalas semasa dimarahi, dia akan mendengar dengan senyap, kerana dia sedar bahawa itu untuk kebaikan dirinya.

“Dia baik… Bila saya tidak selesa, atau tidak kata apa-apa, dia akan tanya, kakak, apa berlaku?  Bila saya menangis, dia akan memujuk saya, ‘jangan macam tu’, katanya.  Dia sayang saya, kami pun sayangnya,” kata Ganga.

Bagaimanapun, Ganga berharap tiada lagi belia yang ditimpa nasib seperti adiknya pada masa depan, tidak kira apa jua kaumnya.  Ganga merungut bahawa MIC tidak menghulurkan tangan, sebaliknya PKR dan HINDRAF yang memberi bantuan kepada mereka ketika berdepan dengan kejadian sebegini.  Malah, mereka merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada peguam mereka, M.Visvanathan (gambar kanan) yang memberi bantuan sepanjang inkues ini.

Ganga berharap dirinya akan mendapat laporan kematian adiknya, yang masih belum diserahkan, biarpun telah setahun berlalu.  Ganga berharap punca sebenar kematian adiknya akan dikenalpasti, kerana kawan Gunasegaran telah mengecam salah seorang pegawai polis yang memukul Gunasegaran dalam inkues.

Seperti Teoh Lee Lan, Ganga juga menanti-nantikan satu jawapan.  Apakah kebenaran akan menjelma, atau R.Gunasegaran sekadar nama yang menyusul di belakang Tharma Rajen, Ragupathy Muniandy, Ahmad Salleh, Ulaganathan Muniandy, Francis Udayappan, Vivashannu Pillai dan lain-lain…sebagai senarai tahanan yang mati dalam lokap?

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal yang disiarkan pada 31 Ogos 2010

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s